:
Tinta Pengarah


Profesion keguruan merupakan suatu profesion yang mulia lagi terhormat, namun pada masa yang sama menuntut komitmen, kesabaran dan pengorbanan yang besar. Tugas mendidik bukan sekadar menyampaikan ilmu, bahkan memikul amanah untuk membentuk insan dan membina masa depan anak bangsa.

Sehubungan itu, dalam menghadapi cabaran tugas serta tanggungjawab yang berat ini, setiap guru hendaklah sentiasa peka, berintegriti dan bertanggungjawab dalam melaksanakan kewajipan sebagai pendidik, selagi mana ia tidak melanggar atau bercanggah dengan hukum agama serta tatasusila masyarakat. Guru bukan sahaja berperanan sebagai penyampai ilmu, malah sebagai pembimbing, pendidik akhlak dan pembentuk sahsiah pelajar.

Adalah menjadi harapan agar seluruh warga pendidik di sekolah ini, yang diibaratkan sebagai sebuah keluarga, dapat bekerjasama, saling menyokong dan berganding bahu dalam merealisasikan aspirasi serta memajukan sekolah ini secara berterusan.

Sehubungan itu, setiap guru hendaklah:

  1. Menjadi pencinta ilmu, sentiasa dahagakan pengetahuan serta menyampaikan tunjuk ajar dengan penuh keikhlasan, di samping memupuk minat dan semangat belajar dalam kalangan murid.

  2. Menjadi contoh dan teladan kepada murid, sama ada di dalam mahupun di luar sekolah, dari segi pertuturan, penampilan, amanah, kerajinan, kecekapan serta kesempurnaan dalam melaksanakan tugas.

  3. Mempunyai sikap positif terhadap tugas, bersikap kreatif, inovatif dan sentiasa peka terhadap perkembangan semasa serta perubahan persekitaran pendidikan.

  4. Memahami dan menghayati konsep bersepadu antara ilmu dan amal, dengan menyeimbangkan pembangunan rohani dan jasmani dalam proses pendidikan.

  5. Menghayati Falsafah Pendidikan Negara, iaitu memahami hasrat dan matlamat pendidikan melalui amalan, penghayatan, kesedaran dan keinsafan, serta berteraskan keimanan dan ketaatan kepada Tuhan Yang Maha Esa.

Akhir kata, diharapkan agar para guru dapat menerapkan dalam diri masing-masing ciri-ciri keguruan yang unggul, memahami peranan serta tanggungjawab sebenar seorang pendidik demi kepentingan anak bangsa yang bakal mewarisi dan menerajui negara pada masa hadapan.

Semoga segala usaha murni yang dilaksanakan sentiasa mendapat keberkatan dan keredaan Allah SWT.

“BERAMAL DENGAN IKHLAS”